Blog Individu
DEFINISI PENASIHATAN, BIMBINGAN DAN MENTORING
Penasihatan
Nasihat merupakan suatu perkara yang penting dan perlu wujud di sekolah kerana ia mampu membantu pelajar dalam menghadapi masalah yang dilalui oleh mereka serta dapat menstabilkan emosi pelajar. Nasihat merupakan satu ajaran, arahan, peringatan dan petunjuk yang baik di mana ia akan disampaikan oleh seseorang yang lebih berautoriti, iaitu yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam sesuatu perkara seperti guru. Oleh itu, guru bukan sahaja berperanan dalam menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah, malah guru juga berperanan dalam menstabilkan emosi pelajar. Dengan cara ini, ia secara tidak langsung dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dengan adanya nasihat, maka ia juga dapat menyelesaikan masalah pelajar dengan lebih cepat dan pantas jika ia memberi kesan kepada mereka.
Bimbingan
Bimbingan ialah satu proses untuk memberi bantuan kepada seseorang individu atau kumpulan dalam meningkatkan kebolehan dan potensi mereka supaya dapat menentukan pilihan yang terbaik serta membuat keputusan yang bijak dalam hidup mereka seperti membuat pilihan dalam kerjaya, akademik, sosial, peribadi dan sebagainya. Oleh itu, bimbingan merupakan satu pendekatan yang dilakukan oleh seseorang guru untuk membantu pelajar dalam membuat sesuatu keputusan yang bijak. Tambahan pula, guru juga perlulah meyakinkan pelajar bahawa keputusan yang dipilih oleh mereka adalah yang terbaik. Sebagai contoh, apabila seseorang pelajar mengalami masalah dalam membuat pilihan dan penentuan untuk memilih aliran yang sesuai dengan dirinya bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, maka guru perlulah membimbing dan membantu membuat keputusan berdasarkan minat dan kebaikan yang diperoleh daripada pelajar tersebut. Bimbingan ini bukanlah satu paksaan yang dilakukan ke atas pelajar untuk memilih keputusan yang ditetapkan, namun ia merupakan satu bantuan yang diberikan oleh guru kepada seseorang pelajar untuk membuat keputusan yang bersesuaian dengannya. Oleh itu, kaedah bimbingan mampu menjadi seseorang pelajar itu mampu membuat keputusan sendiri dan mempunyai pendirian diri yang kukuh.
Mentoring
Mentoring dikenali sebagai satu proses yang dijalankan oleh seseorang yang berpengalaman, berkemahiran dan mempunyai pengetahuan dalam sesuatu perkara untuk memberi nasihat, sokongan, bimbingan dan bantuan kepada seseorang individu. Mentoring juga telah mewujudkan satu hubungan dan interaksi seseorang individu dengan individu yang lain. Oleh itu, mentoring ini merupakan salah satu pendekatan yang dilaksanakan di sekolah di mana ia telah melibatkan dua pihak iaitu mentor dan mentee. Mentor dikenali sebagai seseorang yang lebih tua, berkelayakan dan berpengalaman dalam memberi pertolongan, sokongan, nasihat dan bimbingan kepada seseorang yang memerlukannya. Sebagai contoh, mentor ialah seorang guru, pensyarah, kaunselor dan sebagainya. Selain itu, mentee pula ialah seseorang individu yang memerlukan bantuan dan sokongan daripada mentor untuk memperbaiki diri menuju ke arah yang lebih baik, iaitu dari segi pencapaian akademik, potensi, tingkah laku dan sebagainya. Mentee selalunya terdiri daripada golongan yang lebih muda seperti pelajar. Oleh itu, mentoring merupakan satu langkah yang sesuai di mana ia secara tidak langsung dapat mewujudkan satu suasana kasih sayang dan kekeluargaan di antara guru dan pelajar.
コメント