top of page
Search
  • Writer's pictureNurul Izzah

PROSES BIMBINGAN DAN PENASIHATAN

Updated: Jun 4, 2021

Blog Individu


TERDAPAT LIMA FASA PROSES BIMBINGAN DAN PENASIHATAN, IAITU:


FASA 1: KESEDARAN GURU SEBAGAI PEMBIMBING DAN PENASIHAT PELAJAR

Fasa yang pertama ialah kesedaran guru sebagai pembimbing dan penasihat pelajar. Pihak sekolah terlebih dahulu akan memahami dan menghayati tentang konsep bimbingan dan penasihatan. Selain itu, guru-guru akan diberi kesedaran tentang kepentingan bimbingan dan penasihatan kepada pelajar kerana ia boleh dikatakan sebagai satu sumber rujukan pelajar semasa di sekolah. Tambahan pula, guru yang mengajar pelajar di dalam kelas harus diberi penekanan dalam hal ini kerana mereka lebih mengenali dan rapat dengan pelajar-pelajar mereka berbanding dengan guru yang tidak mengajar. Dengan ini, guru-guru akan mengetahui dan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang pembimbing, penasihat dan pendorong kepada pelajar dengan sebaiknya.


FASA 2: MENGUASAI KEMAHIRAN-KEMAHIRAN ASAS BIMBINGAN DAN PENASIHATAN

Pada fasa kedua ini, guru-guru perlu menguasai kemahiran-kemahiran asas bimbingan dan penasihatan. Semua guru akan diberi pencerahan tentang kemahiran bimbingan dan penasihatan melalui beberapa program seperti seminar, kursus dan bengkel khas. Di sini, guru-guru akan mempelajari beberapa kemahiran asas dalam bimbingan dan penasihatan. Antara kemahiran-kemahiran yang diberi cadangan untuk guru-guru mengetahuinya ialah kemahiran perkembangan personaliti, kemahiran melayan dan mendengar, kemahiran mengenal pasti pelajar yang mengalami masalah, kemahiran lisan atau dalam erti kata lain kemahiran verbal dan kemahiran bukan lisan, iaitu non verbal serta kemahiran asas teori dan teknik kaunseling dalam proses menolong. Penguasaan kemahiran-kemahiran ini merupakan suatu perkara asas yang akan menjadikan guru-guru sebagai pembimbing dan penasihat yang berkesan dan ia juga akan dijalankan secara berperingkat dan teratur.


FASA 3: PROSES MENGENALI PELAJAR

Pada fasa ketiga pula ialah proses mengenali pelajar di mana guru-guru akan menggunakan kemahiran-kemahiran asas kaunseling yang telah dipelajari dan sekaligus membolehkan mereka mengenal pasti pelajar-pelajar yang menghadapi masalah dan memerlukan khidmat bimbingan dan nasihat daripada guru. Jadi di sini kita dapat lihat bahawa terdapat tiga kategori utama bagi pelajar yang memerlukan bimbingan daripada guru. Kategori yang pertama ialah pelajar yang datang secara sukarela di mana tiada sebarang paksaan yang dilakukan ke atas pelajar. Kategori yang kedua pula ialah pelajar yang berada di bawah pemerhatian guru berdasarkan faktor-faktor tertentu. Seterusnya, kategori yang ketiga ialah pelajar yang telah dikenal pasti oleh guru-guru untuk mendapatkan bimbingan dan penasihatan melalui diagnosis dan pemerhatian daripada guru. Tambahan pula, terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan oleh guru untuk mendapatkan beberapa maklumat tentang pelajar yang menerima perkhidmatan bimbingan dan penasihatan. Antaranya adalah melalui teknik ujian, temu bual, soal selidik, teknik sosiometrik, rekod kesihatan dan sebagainya. Dengan cara ini, guru dapat mengenali pelajar dan mampu mengenal pasti pelajar yang berada dalam kesulitan.


FASA 4: PROSES MEMBIMBING PELAJAR

Fasa yang keempat pula ialah proses membimbing pelajar di mana pelajar akan dibimbing oleh guru melalui tiga cara, iaitu secara individu, berkelompok dan konsultasi yang melibatkan ibu bapa. Cara yang pertama ialah individu di mana ia merupakan cara yang sesuai untuk pelajar yang memerlukan perhatian yang khusus dan ia juga membolehkan guru mendekati pelajar tersebut dengan sebaiknya. Dengan cara ini, pelajar akan berasa diri mereka diberi perhatian sepenuhnya oleh guru pembimbing. Seterusnya, cara yang kedua ialah melalui kumpulan atau kelompok di mana bimbingan ini akan melibatkan pelajar yang mempunyai masalah yang sama, iaitu dengan memberi bimbingan melalui program motivasi, melihat dan menilai kemahiran pelajar dan tingkah laku yang ada pada mereka. Manakala cara yang ketiga pula ialah konsultasi yang melibatkan ibu bapa. Konsultasi ini merupakan satu sesi pertukaran pendapat untuk mendapatkan beberapa nasihat. Oleh itu, ketiga-tiga cara ini mampu membantu pelajar dalam menyelesaikan masalah mereka. Tambahan pula, terdapat enam tahap dalam proses membimbing pelajar yang perlu dijalankan oleh guru-guru di sekolah. Antaranya ialah membina hubungan yang mesra dan baik semasa bersama dengan pelajar. Seterusnya, tahap yang kedua pula ialah membuat penerokaan masalah utama yang dialami oleh pelajar. Manakala tahap yang ketiga pula ialah membuat definisi masalah yang dihadapi oleh pelajar dan membantu membina matlamat untuk mereka. Selain itu, tahap yang keempat ialah membantu mencari dan mencipta alternatif penyelesaian dan pelan tindakan. Tahap yang kelima pula ialah melaksanakan tindakan yang dipersetujui dan tahap yang keenam, iaitu yang terakhir ialah penamatan hubungan di antara guru pembimbing dengan pelajar. Oleh itu, apabila adanya enam tahap ini dalam proses membimbing pelajar, maka ia secara tidak langsung dapat melancarkan sesi khidmat bimbingan dan penasihatan itu.


FASA 5: ANALISIS PENILAIAN

Akhir sekali, fasa yang kelima ialah membuat analisis penilaian di mana fasa ini akan melihat kepada keberkesanan perhubungan bimbingan dan penasihatan sama ada ia menunjukkan keberkesanan ataupun tidak. Selain itu, terdapat dua hasil analisis yang dijalankan ke atas pelajar, iaitu berjaya dibimbing atau tidak berjaya dibimbing. Jadi, keputusan yang telah didapati dan diketahui daripada fasa ini boleh diteruskan ke peringkat seterusnya jika perlu.

32 views0 comments

Comentários


bottom of page