top of page
Search
Writer's pictureNurul Izzah

KEPENTINGAN PENGURUSAN PENASIHATAN MURID

Blog Individu


Pengurusan Penasihatan Murid mempunyai banyak kepentingannya. Antaranya ialah:


1. DAPAT MENYELESAIKAN MASALAH PELAJAR DENGAN SEBAIKNYA

Pengurusan Penasihatan Murid merupakan satu jalan yang dapat menyelesaikan masalah pelajar di sekolah. Hal ini kerana terdapat banyak pendekatan yang diambil oleh pihak sekolah untuk menyelesaikan masalah pelajar serta menstabilkan emosi pelajar. Di sekolah, Pengurusan Penasihatan Murid ini telah melibatkan guru dengan pelajar di mana guru merupakan pembimbing, penasihat dan mentor kepada pelajar manakala pelajar pula merupakan individu yang menghadapi masalah dan memerlukan pertolongan daripada guru. Tambahan pula, wujudnya guru-guru yang mengetahui tentang kemahiran asas kaunseling yang mana sedikit sebanyak dapat membantu pelajar menangani masalah yang dihadapinya. Jadi, melalui bimbingan dan penasihatan, guru-guru akan membimbing, memberi sokongan dan nasihat kepada pelajar dalam sesuatu perkara. Dengan cara ini, pelajar akan berasa tenang dan mampu menghadapi masalah mereka dengan sebaiknya kerana wujudnya dorongan dan sokongan daripada guru. Oleh itu, Pengurusan Penasihatan Murid sangat penting di sekolah kerana ia akan membantu pelajar dalam menangani masalah yang dihadapi oleh mereka.


2. DAPAT MENJAUHI DARIPADA BERLAKUNYA KEKERASAN KE ATAS PELAJAR

Pengurusan Penasihatan Murid ialah salah satu langkah yang di ambil semasa berhadapan dengan pelajar yang mempunyai masalah dan melakukan masalah disiplin. Ia mampu mengelakkan daripada berlakunya kekerasan ke atas pelajar kerana ia lebih kepada ucapan dan lisan untuk membantu dan menegur pelajar yang melakukan masalah disiplin di sekolah. Nasihat merupakan satu kaedah yang cepat dalam menangani sesuatu masalah kerana jika ia memberi kesan kepada pelajar, maka mereka akan sedar dan tidak akan mengulangi dan melakukan kesalahan yang sama. Tambahan pula, pelajar yang mengalami masalah tersebut akan dibimbing dengan sebaiknya oleh guru tanpa wujudnya sebarang diskriminasi ke atas pelajar. Dengan cara ini, pelajar akan berasa diri mereka masih diberi perhatian oleh guru dan sedikit sebanyak ia dapat membantu mereka untuk berubah ke arah yang lebih baik.


3. MENJADIKAN GURU LEBIH BERTANGGUNGJAWAB DALAM MEMBERI BIMBINGAN DAN   NASIHAT KEPADA PELAJAR

Pengurusan Penasihatan Murid mampu menjadikan semua guru seorang yang bertanggungjawab untuk membimbing dan menasihati pelajar yang sedang menghadapi masalah. Hal ini kerana guru-guru kebanyakannya telah diberi pencerahan dan kesedaran bahawa mereka bukan sahaja menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah, malah mereka juga perlu menjadi penasihat, mentor dan guru pembimbing kepada semua pelajar. Perkara ini dapat dilihat melalui proses bimbingan dan penasihatan di mana guru-guru akan diberi penekanan tentang kepentingan Pengurusan Penasihatan Murid terutamanya guru-guru yang mengajar di dalam kelas kerana mereka lebih rapat dan mengenali pelajar mereka. Dengan ini, pelajar-pelajar dapat menangani masalah mereka dengan sebaiknya kerana wujudnya kesedaran dalam diri setiap guru untuk menjadi penasihat, pembimbing, pendorong pelajar ke arah yang lebih baik dan sebagainya.


4. MENINGKATKAN KEMAHIRAN PELAJAR DALAM MEMBUAT KEPUTUSAN

Apabila wujudnya bimbingan dan penasihatan di sekolah, maka ia secara tidak langsung dapat membantu pelajar dalam meningkatkan kemahiran untuk menentukan sesuatu keputusan. Di sini kita dapat lihat bahawa guru kaunselor berperanan dalam membimbing pelajar membuat sesuatu keputusan dalam hidupnya seperti pemilihan kerjaya, pemilihan untuk sambung belajar di Institut Pengajian Tinggi dan sebagainya. Oleh hal yang sedemikian, guru kaunselor akan membimbing pelajar untuk membuat keputusan berdasarkan pencapaian yang diperoleh, minat seseorang pelajar, kemahiran, kelayakan dan sebagainya. Dengan ini, pelajar dapat membuat sesuatu keputusan yang bijak dan sesuai tanpa wujudnya sebarang tindakan yang melulu di mana ia akan memberi kesan yang kurang baik kepada pelajar. Oleh itu, bimbingan dan penasihatan secara tidak langsung dapat menjadikan pelajar seorang yang berkemahiran dalam membuat sesuatu keputusan yang bijak.


5. MENGUKUHKAN PENDIRIAN DIRI DAN KEBERANIAN PELAJAR DALAM MEMBUAT SESUATU KEPUTUSAN 

Bimbingan dan penasihatan yang diberikan kepada pelajar mampu mengukuhkan pendirian dan keberanian mereka dalam membuat sesuatu keputusan. Hal ini kerana guru pembimbing akan meyakinkan pelajar serta membantu pelajar dalam membuat sesuatu keputusan yang terbaik dalam hidup mereka. Dengan ini, pelajar akan mempunyai pendirian diri dan berani dalam membuat sesuatu keputusan. Pelajar tidak akan mengikut apa yang dipilih oleh rakan mereka kerana mereka mempunyai pendirian diri untuk menentukan sesuatu perkara berdasarkan pencapaian, minat, kelayakan dan kemahiran yang diperoleh dalam diri mereka.

29 views0 comments

Comments


bottom of page